KOTA KINABALU: Seorang aktivis masyarakat Bajausama Zainorain Makbul, 56, yang juga seorang pendidik, dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Sama Sabah (PSS) sesi 2026 – 2029.
Surat pelantikannya diserahkan secara rasmi oleh Presiden PSS, Datuk Haji Abdullah Sibil, dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna di ibu negeri baru baru ini.
Zainorain bukanlah wajah asing dalam organisasi ini. Beliau aktif sejak 2010, bermula sebagai Ahli Jawatankuasa biasa, kemudian meningkat ke jawatan-jawatan penting seperti Ahli Majlis Tertinggi (Biro Pendidikan), Penolong Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan kini, Setiausaha Agung.
Ketika dihubungi Zainorain mengakui pelantikan itu sebagai tanggungjawab besar yang digalas.
“Satu tanggungjawab besar yang diberikan kepada saya. Cuma risau tidak terangkat… tapi saya akan cuba buat kerja ikut kemampuan diri,” katanya.
Pelantikan ini dilihat sebagai kesinambungan perjuangan PSS dalam memperkukuh bahasa, budaya, dan identiti masyarakat Sama di Sabah.
Dengan pengalaman panjang serta komitmen yang konsisten, Zainorain diyakini mampu membawa organisasi ke tahap lebih tersusun dan berkesan.

AMANAH… Abdullah Sibil menyerahkan fail setiausaha kepada Zainorain.





