QEH bakal terima mesin dialisis baharu bulan depan – Christina

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib telah memulakan inisiatif menyumbang tujuh mesin dialisis baharu dilengkapi kelengkapan kegunaan 48 kegagalan buah pinggang akhir (ESRF) dan 617 pesakit dialisis peritoneal ambulatori berterusan (CAPD) di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di bawah skim bantuan kesihatan Sejahter SMJ Sabah.
Mengumumkan demikian selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata pesakit itu juga akan menerima rawatan hemodialisis percuma selama setahun.
“Kesediaan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mencerminkan keprihatinan dan komitmennya untuk menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan di hospital kerajaan.
“Memastikan kesejahteraan rakyat adalah antara keutamaan kami terutama mereka yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Christina, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api, akan menyerahkan mesin baharu itu kepada Pengarah Kesihatan Negeri Dr Maria Suleiman di QEH bulan depan.
“Saya telah menyampaikan berita gembira ini kepada pengarah dalam satu mesyuarat ringkas,” katanya.
Sementara itu, Dr Maria berkata, sumbangan kerajaan merupakan bantuan yang amat bernilai kepada pesakit dialisis.
Menurutnya, terdapat 474 mesin dialisis di 23 hospital dan dua klinik kesihatan tetapi hanya 435 yang berfungsi dengan baik manakala selebihnya tidak berfungsi.
“Kira-kira 1,336 pesakit dengan kegagalan buah pinggang peringkat akhir (ESRF) menerima rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di 23 hospital kerajaan dan dua klinik kesihatan di seluruh negeri,” kata Dr Maria.

PRIHATIN…Christina (kiri) membincangkan kesihatan dialisis bersama Dr Maria (kanan) .