PULAU BANGGI: Program Kembara Rahmah 2026 (Kerah) di Pulau Banggi berlangsung penuh bermakna dengan penganjuran Dialog Kepimpinan bersama penduduk Kampung Karakit, yang disempurnakan oleh Datuk Lahirul Latigu, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah.
Dalam ucapannya, beliau menekankan potensi besar Pulau Banggi sebagai kawasan strategik yang memiliki keunikan tersendiri dari sudut pelancongan, ekonomi, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Beliau turut menyeru agar pulau ini sentiasa dipelihara daripada anasir negatif yang boleh menjejaskan keharmonian penduduk.
Lahirul turut menegaskan bahawa kewujudan institusi tahfiz dan golongan penuntut ilmu agama di pulau ini adalah satu rahmat yang wajar diperkasakan.
“Pulau Banggi akan terus mendapat keberkatan, kesejahteraan dan rahmah daripada Allah SWT jika ilmu dan nilai agama terus diperkukuhkan,” katanya.
Selepas sesi dialog, program diteruskan dengan Kenduri Rakyat yang menghimpunkan kira-kira 100 penduduk Kg Karakit dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
Dalam kesempatan itu, Yayasan EZ Prihatin turut menyampaikan sumbangan dana kepada Masjid Pekan Karakit sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti setempat.
Jurucakap program, Abrar Sadiq, menjelaskan bahawa Kerah Pulau Banggi merupakan julung kali dianjurkan sebagai usaha mendekati masyarakat kepulauan yang sering berdepan cabaran pembangunan dan akses perkhidmatan.
Beliau menekankan bahawa semangat kebersamaan menjadi pemangkin kepada kejayaan program ini, dengan sokongan padu daripada Yayasan EZ Prihatin.
Abrar turut menegaskan bahawa Pulau Banggi mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai kawasan penting di Sabah, dengan syarat wujud kerjasama erat antara pemimpin tempatan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga menekankan aspek keselamatan sempadan yang perlu diperkukuhkan memandangkan kedudukan pulau ini berhampiran perairan antarabangsa.
Pengurus Besar Yayasan EZ Prihatin, Muaz Abdullah, mengajak lebih ramai dermawan, syarikat korporat dan individu berkemampuan untuk menyokong usaha kebajikan seperti Kerah.
Menurut beliau, sambutan positif daripada penduduk membuktikan bahawa masih banyak ruang untuk memperluas usaha kebajikan di kawasan pedalaman dan kepulauan.
“Insya-Allah, dengan sokongan berterusan, program seumpama ini akan diteruskan dengan skala lebih besar dan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk,” ujarnya.
Program Kembara Rahmah 2026 membuktikan bahawa kerjasama erat antara masyarakat, NGO, institusi agama dan kepimpinan negeri mampu membawa impak positif kepada komuniti setempat, memperkukuhkan semangat perpaduan serta menjadikan Pulau Banggi lebih maju, sejahtera dan berdaya saing.

DIALOG… Bersama penduduk Kg Karakit dialog bersama Datuk Lahirul Latigu dan Kenduri Rakyat.

GIMIK SUMBANGAN … Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ez Prihatin Dr Hadi sampaikan gimik sumbangan wang tunai kepada Pengerusi Masjid Daerah Pekan Banggi, Haji Awang disaksikan Ketua UPPM N1 Banggi,Kassun Ugan.







