Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah akan mengetuai delegasi seramai 100 ahli ke Guangzhou, China, dari 11 hingga 14 November 2026 bagi meneroka peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri antara Malaysia dan China.
Presidennya, Datuk Dexter Lau, berkata lawatan industri dan Majlis Makan Malam Rangkaian Perniagaan Malaysia–China Guangzhou itu bertujuan memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan Sabah dengan agensi kerajaan, syarikat dan dewan perniagaan di China.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai kunjungan hormat kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bagi memberikan taklimat mengenai persiapan program berkenaan.
Menurutnya, penyertaan ahli MCCC Sabah bersama wakil kerajaan, pemimpin industri dan media mencerminkan minat tinggi komuniti perniagaan tempatan untuk meneroka pasaran China serta membina rangkaian kerjasama rentas sempadan.
“Program ini bukan sekadar lawatan industri, tetapi inisiatif penting yang menghimpunkan kerajaan Sabah dan komuniti perniagaan untuk meneroka peluang serta memperkukuh hubungan kerjasama,” katanya.
Delegasi dijadual mengadakan lawatan korporat dan sesi padanan perniagaan, selain berinteraksi dengan wakil kerajaan China, syarikat serta dewan perniagaan bagi memahami perkembangan industri dan trend pasaran.
Turut menyertai delegasi ialah pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Pertanian Sabah, Jabatan Perikanan Sabah, Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) serta Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA).
Selain itu, delegasi akan melawat Universiti Sun Yat-sen, dengan Jamawi dijadual menyampaikan ucapan kepada mahasiswa. Peserta turut mengikuti kursus kecerdasan buatan (AI) bagi memperluas pengetahuan mengenai perkembangan teknologi dan aplikasi industri.
Dexter berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, makanan dan industri berkaitan, justeru lawatan itu diharap membuka peluang kerjasama dalam perdagangan produk, pelaburan serta pertukaran teknologi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jamawi atas sokongan dan bantuan menyelaras penyertaan pegawai kerajaan dalam program berkenaan.
MCCC Sabah, katanya, akan terus berperanan sebagai penghubung antara komuniti perniagaan dengan rakan strategik bagi memastikan hubungan yang dibina dapat diterjemahkan kepada kerjasama dan hasil perniagaan yang nyata.

Jamawi (tengah) bersama wakil pelbagai organisasi mendengar taklimat Dexter (kanan) mengenai persiapan lawatan industri dan Majlis Makan Malam Rangkaian Perniagaan Malaysia–China Guangzhou.





