Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: “Kita bawa idea, bukan kebencian.” Itu penegasan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi @ Bob, yang menjadikan pendekatan politik baharu sebagai teras kempennya — politik yang menawarkan solusi, data dan perancangan, bukannya sentimen perpecahan.
Menurut Razali, politik masa kini menuntut kaedah penyelesaian yang lebih tersusun dan inklusif, khususnya melibatkan komuniti kampung serta taman perumahan.
Sehubungan itu, beliau menekankan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti, sebuah struktur baharu yang akan menggabungkan kepimpinan kampung, JKK dan golongan belia sebagai antara teras manifesto beliau.
“Mereka (belia) mahu didengari. Mereka mahu tahu apa perancangan pemimpin kampung. Suara mereka perlu diangkat,” katanya sambil menegaskan bahawa belia kini bukan lagi pemerhati, tetapi pembuat keputusan bersama dalam pengurusan komuniti.
Beliau berkata demikian selepas sesi walkabout di CKS Menggatal pada Selasa.
Razali turut mencadangkan pembinaan Youth Hub di setiap kampung sebagai ruang rekreasi selamat, tersusun dan mendidik untuk anak muda. Katanya, belia memerlukan pusat komuniti yang bermanfaat, bukan sekadar lokasi untuk melepak tanpa hala tuju.
Mengulas keutamaan pertama jika diberi mandat, Razali yang juga Setiausaha Eksekutif GRS berkata beliau akan membentuk pasukan pakar bagi menjalankan sesi brainstorming untuk merangka sistem pengurusan kampung baharu yang lebih efektif.
“Kita kena buat secara baharu, bukan lagi cara konvensional. Semua pembangunan mesti berasaskan dasar tersusun dan disusun untuk tempoh lima tahun,” jelasnya.
Beliau menambah, semua mesyuarat Majlis Pengurusan Komuniti akan dipengerusikannya sendiri demi memastikan komunikasi telus, keputusan berdasarkan konsensus serta pelaksanaan yang berdisiplin.
Razali turut menegaskan bahawa setiap perancangan pembangunan akan disertakan KPI, laporan tahunan dan ‘report card’ yang akan dibentangkan secara terbuka kepada masyarakat — satu langkah penting memastikan kebertanggungjawaban sepanjang penggal perkhidmatan.
Dalam perkembangan kempen, Razali berkata beliau menerima respons sangat positif daripada rakyat Darau, khususnya golongan belia yang menyambut baik pendekatan politik matang dan berpaksikan idea.
“Kita bercakap tentang tawaran spesifik untuk Darau, bukan retorik. Belia semakin percaya mereka memerlukan pemimpin yang ada visi dan minda ke depan,” katanya.
Razali juga menegaskan keperluan kesinambungan dasar di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ), sambil mengingatkan bahawa budaya kerap menukar kerajaan hanya merencatkan pembangunan apabila banyak dasar terbatal sebelum memberi kesan kepada rakyat.
“Kita mahu kestabilan politik. Kalau tukar-tukar kerajaan, polisi terbatal. Sayang. Kita perlu kesinambungan,” tegasnya.









