KENINGAU: Wartawan memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung antara masyarakat dengan pihak berkuasa, khususnya dalam menyampaikan suara rakyat, maklumat pembangunan dan isu yang memerlukan perhatian.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut berkata, pengamal media bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada masyarakat, malah membantu kerajaan dan organisasi memahami keperluan serta permasalahan rakyat.
Katanya, pembangunan bukan sekadar diukur melalui pembinaan jalan raya, bangunan atau pencapaian ekonomi, tetapi turut dinilai berdasarkan sejauh mana suara rakyat didengari dan harapan mereka diberikan perhatian.
“Wartawan sering dianggap sebagai mata dan telinga kerajaan, namun pada masa sama mereka juga menjadi jambatan yang menghubungkan suara rakyat dengan pihak yang membuat keputusan.
“Apabila rakyat berhadapan kesukaran, wartawan membantu membawa isu berkenaan ke perhatian umum, manakala cadangan dan keperluan masyarakat disampaikan melalui saluran yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Apresiasi Media Pedalaman Sabah 2026 anjuran Persatuan Wartawan Keningau (KJA) di sini, pada Sabtu. Turut hadir Presiden KJA, Marutin Ansiung.
Victor berkata, dalam dunia yang bergerak pantas, ketepatan maklumat perlu sentiasa diutamakan berbanding kecepatan penyampaian berita.
“Fakta mesti mendahului andaian, manakala integriti perlu mengatasi kepentingan peribadi. Kebebasan media dan tanggungjawab profesional juga harus bergerak seiring,” katanya.
Menurutnya, kritikan berasaskan fakta bukan penghalang kepada pembangunan, sebaliknya mampu menjadi panduan untuk mengenal pasti kelemahan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, setiap organisasi dan pemimpin memerlukan maklum balas yang jujur untuk terus maju kerana masalah tidak dapat diperbaiki jika suara masyarakat enggan didengari.
Sehubungan itu, Victor merakamkan penghargaan kepada pengamal media di Keningau dan kawasan sekitarnya atas komitmen, pengorbanan serta sumbangan mereka kepada masyarakat.
Beliau berharap nilai profesionalisme, integriti dan keberanian dalam menyampaikan kebenaran terus menjadi pegangan wartawan serta inspirasi kepada generasi akan datang.

ANUGERAH …. Victor menyampaikan Anugerah Wartawan Harapan kepada pengamal media sempena Malam Apresiasi Media Pedalaman Sabah 2026 anjuran KJA, pada Sabtu.







