PMBS Kuala Penyu ziarah kasih tiga penduduk kurang sihat

KUALA PENYU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Cawangan Daerah Kuala Penyu mengadakan kunjungan Ziarah Kasih ke tiga buah rumah penduduk di Kampung Palu-Palu dan Kampung Binturu, di sini, pada Sabtu.
Rombongan yang diketuai Pengerusi PMBS Cawangan Kuala Penyu, Abd Wahid Matussin, turut menyampaikan bantuan kewangan kepada tiga penduduk yang kurang sihat selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Menurut Abd Wahid, program berkenaan bertujuan membantu meringankan beban penduduk yang ditimpa musibah, khususnya mereka yang menghadapi kesukaran untuk mencari rezeki akibat masalah kesihatan.
“Walaupun bantuan yang disalurkan tidak seberapa, kami berharap ia dapat membantu meringankan beban penduduk yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, Program Ziarah Kasih itu merupakan sebahagian daripada inisiatif PMBS Cawangan Kuala Penyu dalam membantu penduduk kampung yang kurang bernasib baik.
Dalam kunjungan tersebut, rombongan PMBS menziarahi Damit Karim, Ghaffar Hj Arshad dan Ali Hassan Sarujin.
Abd Wahid berkata, kegiatan amal dan kebajikan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha PMBS mendekati dan membantu masyarakat setempat.

Abd Wahid (duduk, dua kiri) bersama rombongan ahli PMBS ketika mengunjungi kediaman Ali Hassan Sarujin menerusi Program Ziarah Kasih PMBS Cawangan Kuala Penyu.