LAHAD DATU: Seorang pekerja warga asing maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kebakaran sebuah kilang kitar semula di Simpang Durian Batu 2, Kampung Durian, di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.09 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.
Menurutnya, seramai 21 anggota bersama beberapa aset termasuk sebuah Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), Water Tanker, Fire Rescue Vehicle (FRV) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikerahkan bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian dan mendapati sebuah kilang kitar semula jenis tidak kekal berkeluasan 50 x 100 kaki sedang terbakar dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 200 kaki dengan enam pancutan air daripada jentera bomba, pam angkut dan Water Tanker. Sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki dipercayai mengalami renjatan elektrik dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM,” katanya.
Menurut Sumsoa, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.38 malam sebelum anggota bomba meneruskan kerja-kerja pemadaman bara api dan pemeriksaan akhir (overhaul) bagi memastikan tiada punca nyalaan semula.
Katanya, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

OPERASI PEMADAMAN – Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 90 peratus sebuah kilang kitar semula di Simpang Durian Batu 2, Kampung Durian, Lahad Datu.






