Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia selepas dihanyutkan arus di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, di sini, semalam.
Dalam insiden kira-kira jam 3 petang itu, seorang lagi rakan mangsa dikatakan turut hanyut bersama mangsa namun sempat diselamatkan beberapa rakan lain yang berada di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan awal, mangsa Akil Hamizan Ahmad dikatakan pergi ke kawasan sungai berkenaan bersama sembilan orang rakannya.
Katanya, kumpulan kanak-kanak terbabit dilaporkan pergi ke lokasi berkenaan untuk menangkap ikan sungai.
“Bagaimanapun, ketika aktiviti menangkap ikan, mangsa dan seorang rakan dipercayai tersasar dan terus dibawa arus sungai.
“Rakan-rakan mangsa yang menyedari insiden berkenaan sempat menarik salah seorang mangsa sebelum segera meminta bantuan orang ramai yang berada berdekatan,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Manggatal segera bergerak ke lokasi kejadian untuk membantu.
Katanya, operasi turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang tiba di tempat kejadian sekitar jam 4 petang.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemukan pada jam 4.17 petang dan bantuan pernafasan (CPR) diberikan di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Likas menggunakan ambulans.
“Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang oleh doktor di Hospital Likas,” katanya.
Sehubungan itu, Kasim menasihatkan orang ramai akan pentingnya pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak apabila berada di kawasan sungai atau perairan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan risiko lemas terutama di kawasan sungai yang arusnya boleh berubah dengan pantas.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

BANTUAN …. Mangsa diberikan bantuan CPR di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan bantuan lanjut.






