Oleh JOHN TAMBANAN
TAWAU: Institusi Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah dan Istana Seri Kinabalu perlu dihormati sebagai antara tonggak penting dalam struktur kenegaraan serta kestabilan negeri, kata aktivis masyarakat Sabah, Mohd Zaki Harry Susanto.
Beliau berkata, perbezaan pandangan dalam negara demokrasi adalah perkara biasa, namun kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk mencerca, menghina atau mengaibkan TYT, Raja-Raja Melayu mahupun institusi beraja.
Menurutnya, budaya mencaci dan merendahkan institusi kenegaraan bertentangan dengan nilai kesantunan masyarakat Malaysia serta berpotensi menjejaskan keharmonian dan kestabilan sosial.
“Demokrasi memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara, mengkritik dasar kerajaan dan membahaskan sesuatu isu, tetapi kebebasan itu perlu disertai adab, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap institusi yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Jangan sampai kebebasan bersuara disalahgunakan sehingga kedudukan TYT diaibkan atau institusi Istana Negeri Sabah dipersendakan,” katanya ketika mengulas komen segelintir netizen yang didakwa cuba mengaibkan TYT Sabah di media sosial.
Mohd Zaki, yang juga bekas pegawai kanan polis, berkata rakyat perlu memahami bahawa TYT bukan sekadar simbol atau lambang upacara, sebaliknya Ketua Negeri Sabah yang mempunyai kedudukan dan fungsi tertentu di bawah Perlembagaan Negeri Sabah.
Katanya, seseorang yang dilantik ke jawatan TYT melalui proses yang diperuntukkan Perlembagaan perlu dihormati berdasarkan kedudukan rasminya, tanpa terus diseret ke dalam polemik politik kepartian.
“Jika ada perbezaan pandangan terhadap dasar atau keputusan kerajaan, salurkan melalui ruang demokrasi dan undang-undang. Jangan gunakan media sosial sebagai medan menghina atau mengaibkan TYT yang berada di luar gelanggang politik kepartian,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya menyemak fakta, memahami Perlembagaan dan menggunakan saluran yang betul sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Dalam demokrasi, kritik boleh, tetapi menghina dan mencaci bukan budaya kita. Menghormati institusi TYT bukan bermakna menolak demokrasi, sebaliknya mempertahankan demokrasi berperlembagaan yang kita warisi.
“Kita boleh berbeza parti, pandangan dan pendirian politik, tetapi jangan berbeza dalam soal menghormati Perlembagaan dan institusi negeri,” katanya.
Mohd Zaki berkata kematangan demokrasi tidak diukur berdasarkan sejauh mana rakyat bebas menghina, tetapi kemampuan menggunakan kebebasan secara bertanggungjawab tanpa meruntuhkan institusi yang menjadi asas kestabilan negara.
“Pertahankan Istana Negeri Sabah, hormati TYT dan peliharalah adab sebagai anak Sabah dan rakyat Malaysia,” katanya.

Foto: Mohd Zaki




