Gelagat panik tiga lelaki bongkar kegiatan edar dadah

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA BELUD: Gelagat mencurigakan tiga lelaki yang ‘panik’ sebelum melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah dalam operasi di Kampung Kelawat, di sini, semalam.
Operasi Op Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu yang dipercayai cuba diedar. 
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik ditahan, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 45 tahun dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut. 
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine.
“Semua suspek akan ditahan reman di lokap IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut sebelum dituduh di mahkamah.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, pihaknya akan terus melaksanakan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dan jenayah.

TERBONGKAR …. Kegiatan mencurigakan suspek membongkar kegiatan pengedaran dadah di lokasi.