PDRM tempatkan 9,300 pegawai, anggota sepanjang PRU Sabah

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan seramai 9,300 pegawai dan anggota di seluruh negeri bagi memastikan aspek keselamatan terkawal sepanjang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pelaksanaan operasi keselamatan itu akan diselaras bersama polis Sabah yang diketuai Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Katanya, ia bagi memastikan situasi keselamatan dan ketenteraman awam berada dalam keadaan terbaik sepanjang proses pilihan raya.
“Kita telah menempatkan seramai lebih kurang 9,300 orang pegawai dan anggota di seluruh negeri Sabah untuk menjaga keselamatan di 73 DUN yang akan dipertandingkan pada PRU Sabah kali ini.
“Ia bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di Sabah ini sentiasa dalam keadaan baik dan terkawal.
“Dan esok (hari ini) adalah hari penamaan calon melibatkan lebih kurang 25 tempat pencalonan dan polis menempatkan seramai 4,300 orang pegawai dan anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perjumpaan Khas Ketua Polis Negara Bersama Petugas PDRM Sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.
Menurutnya, pihak polis turut mengarahkan pegawai-pegawai termasuk penugasan oleh pihak CID bagi memastikan keselamatan jalan dengan baik dan sempurna.
“Dan juga kita pastikan bahawa trafik juga dapat berjalan dengan lancar dan memastikan juga kemudahan kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid menegaskan beliau akan mengadakan beberapa siri lawatan ke kawasan pantai timur Sabah termasuk Tawau.
Katanya, beliau akan meninjau beberapa lokasi Dewan Undangan yang telah ditentukan oleh Ketua Polis Sabah bagi memantau persiapan keselamatan.
“Sementara itu, mengenai bantuan kira-kira 1,200 anggota dari Sarawak yang bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.
“Bagaimanapun, bantuan ini bergantung kepada penilaian dan sekiranya dirasakan perlu penugasan akan digerakkan untuk memastikan keselamatan berterusan,” katanya.

SUMBANGAN …. Mohd Khalid menyampaikan sumbangan keperluan semasa PRU17
Sabah kepada Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.