Bagi pastikan institusi berkenaan kekal berkesan dan relevan – Hajiji
TAMBUNAN: Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan versi baharu bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri dan memperkasa institusi tersebut.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah menyediakan draf enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 yang kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Draf ini memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri.
“Ini yang sedang kita buat bagi memastikan agar Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan dan relevan.
“Ia adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” kata Hajiji semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan pada Khamis.
Hajiji turut menjelaskan sambutan Pesta Kaamatan adalah antara acara penting bagi rakyat Sabah yang bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama sebaliknya juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik.
“Lebih daripada itu, Kaamatan juga adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan.
“Tema Pesta Kaamatan tahun ini Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan membawa mesej yang sangat mendalam dan inklusif.
“Ia menekankan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu perayaan bersama yang merangkul semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Kaamatan kini bukan hanya pesta menuai, ia menjadi lambang penyatuan rakyat, satu ruang untuk kita saling mengenali, menghormati, dan meraikan keunikan budaya masing-masing.
“Tema ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyatukan rakyat Sabah dari pelbagai lapisan masyarakat bagi meraikan warisan budaya kita yang kaya dan pelbagai,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta Menteri-menteri kabinet.-Penerangan.








