KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil inisiatif memantau kehadiran buaya di sungai dan perairan sekitar bandar raya ini selepas kelibat reptilia itu dikesan di beberapa lokasi di sini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato Sri Dr. Sabin Samitah berkata, pamantauan terhadap haiwan liar itu dimulakan sejak setahun lalu menerusi penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK.
Katanya, menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu, DBKK komited melaksanakan kerja pemantauan buaya termasuk di perairan sekitar bandar raya ini dari semasa ke semasa.
“Jawatankuasa ini turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 30 Januari 2024, dua siri operasi pemantauan buaya sudah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas kehadiran kelibat buaya di perairan Pantai Tanjung Aru, di sini, yang menjadi lokasi tumpuan umum dan riadah, termasuk berkelah dan aktiviti air yang lain.
Sabin berkata, siri pertama pemantauan buaya diadakan pada 29 Februari 2024 hingga 1 Mac 2024 yang tertumpu di Sungai Darau, Sungai Kalansanan dan beberapa kawasan panas kehadiran buaya sekitar bandar raya ini.
Katanya, ia kemudian disusuli operasi pemantauan buaya siri kedua pada 19 hingga 20 Ogos 2024, berikutan isu kehadiran buaya di laut berdekatan pantai Tanjung Lipat yang tular di media sosial.
“Hasil operasi pemantauan buaya siri pertama berjaya mengenal pasti lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya iaitu di Sungai Darau dan Bengkel Depoh DBKK.
“Susulan itu, operasi pemantauan buaya siri kedua tertumpu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh DBKK.
“Operasi susulan akan diadakan pada setiap suku tahunan untuk memantau populasi buaya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK turut menjalankan kajian bilangan buaya, memasang tanda amaran buaya di kawasan yang dikenal pasti ada ancaman buaya, memantau operasi secara berjadual dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas atau ‘hotspot’.
Katanya, DBKK juga menjalin kerjasama dengan agensi berwajib dalam menjamin keselamatan warga bandar raya.
Sementara itu, katanya orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dinasihatkan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan.
Sabin berkata, talian yang boleh dihubungi bagi melaporkan kehadiran buaya ialah Talian Kecemasan Kebangsaan 999, PDRM Sabah (088-529222), Balai Bomba Kota Kinabalu (088-210214 / 019-2445687), Jabatan Hidupan Liar (JHL) (088-213502), APM Sabah (088-232440) dan APM Kota Kinabalu (088-232453).
Ahad lalu, seekor buaya dikesan orang awam di perairan Pantai Tanjung Aru sebelum dimaklumkan kepada petugas di menara pemantau.
Berikutan itu, anggota APM dan JHL melaksanakan operasi memburu reptilia berkenaan, namun gagal ditangkap.






