Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan

Hadapi risiko kesihatan akibat cuaca panas

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh langkah pemantauan serta kesiapsiagaan dalam menghadapi cuaca panas berterusan, dengan memberi penekanan khusus terhadap keselamatan pekerja luar, komuniti luar bandar dan golongan berisiko.
Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata pihaknya memandang serius peningkatan kes berkaitan haba seperti dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, struktur ekonomi negeri yang melibatkan ramai pekerja luar seperti nelayan, petani dan pekerja ladang meningkatkan tahap pendedahan kepada suhu ekstrem, sekali gus memerlukan pendekatan intervensi yang lebih proaktif dan bersasar.
“Di Sabah, sebahagian besar rakyat bergantung kepada sektor luar, justeru risiko pendedahan haba adalah tinggi dan memerlukan perhatian serta langkah perlindungan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menggesa institusi pendidikan, pusat jagaan kanak-kanak serta ibu bapa dan penjaga agar mempertingkatkan langkah pencegahan bagi melindungi kanak-kanak daripada kesan cuaca panas.
Selain itu, perhatian khusus juga perlu diberikan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik.
“Kerajaan negeri terus memantau perkembangan cuaca secara rapi serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan sebarang amaran dan tindakan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
“Pada masa sama, tahap kesiapsiagaan kemudahan kesihatan di peringkat daerah sentiasa dipastikan berada pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes berkaitan haba.
“Kami komited untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas ini,” katanya.

JULITA