Oleh JOHN TAMBANAN
SANDAKAN: Sabah bakal mencatat sejarah apabila tapak pelupusan sampah berteknologi 3R pertama dengan paten global akan dibangunkan di Sandakan, menerusi projek pemulihan tapak sisa pepejal lama di Sungai Sibuga.
Projek itu dilaksanakan oleh IGNIS SG (Sabah) Sdn. Bhd., selepas memeterai Perjanjian Konsesi selama 12 tahun dan 8 tahun lanjutan bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), sekali gus membuka lembaran baharu dalam pengurusan sisa pepejal secara mampan di negeri ini.
Pengarah Eksekutif IGNIS SG, Dr. Davina Datuk Marcus berkata, projek tersebut merupakan solusi jangka panjang terhadap lambakan sampah dan masalah tapak pelupusan yang semakin tepu di daerah ini. Ia juga selaras dengan komitmen kepada kelestarian alam sekitar.
“Teknologi IGNIS 3R ini ialah satu inovasi yang telah dipatenkan secara global dan tidak melibatkan pembakaran atau pelepasan toksik. Ia mampu memproses sisa pepejal yang telah lama tertanam tanpa pengasingan awal, serta membolehkan tanah tapak digunakan semula,” katanya semasa Majlis Pelancaran Projek Pemulihan Tapak Pelupusan Sungai Sibuga, di sini.
Dr. Davina turut memaklumkan bahawa projek ini dibiayai sepenuhnya melalui model Private Financing Initiative (PFI) dengan sokongan EXIM Bank Malaysia, tanpa melibatkan dana kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan.
“Ini membuktikan kepercayaan sektor kewangan terhadap daya maju projek ini dan keberkesanan teknologi IGNIS 3R dalam skala komersial, termasuk menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai Net-Zero Emission 2050 serta mematuhi prinsip ESG,” ujarnya.
Katanya lagi, sistem rawatan tertutup berkonsepkan zero waste-to-landfill itu bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam, tetapi juga mampu menghasilkan semula bahan berguna daripada sisa lama serta menambah nilai guna semula tanah.
Ketika ini, projek sedang berada dalam fasa awal pelaksanaan membabitkan kerja-kerja tapak dan mobilisasi mesin IGNIS 3R, dan dijangka siap secara fizikal pada Julai 2026.
“Saya mahu projek ini menjadi inspirasi kepada semua pihak agar lebih serius dalam memelihara alam sekitar dan membebaskan kawasan pelupusan yang semakin padat dengan timbunan sampah. Ia juga diharap dapat mengurangkan risiko kesihatan awam dan mempertingkat imej bandar Sandakan,” tambah beliau.






