Buang bayi: Suspek mengaku lahirkan, letakkan di luar rumah

Oleh FARDY BUNGGA


LAHAD DATU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes buang bayi yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini, Jumaat lalu. 
Wanita berusia 30 tahun terbabit ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada Ahad lalu untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek mengaku melahirkan bayi terbabit di rumahnya dan meletakkannya di luar rumah.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Pihak polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Lahad Datu dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.06 pagi, Jumaat lalu, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang melaporkan penemuan bayi terbabit.
Bayi baru lahir yang ditemui masih hidup itu terus dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 7.02 malam, hari yang sama, akibat dilahirkan pra matang dan mempunyai berat badan terlalu rendah.

SUSPEK ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
MALANG …. Bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang awam
selepas dilaporkan kepada pihak polis.