APMM selamatkan enam mangsa bot bocor, patahkan cubaan seludup barang subsidi di pantai timur Sabah

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya melaksanakan dua operasi berasingan di perairan pantai timur Sabah pada Isnin, melibatkan misi menyelamat mangsa bot bocor serta penahanan cubaan menyeludup barang bersubsidi.
Di perairan Pulau Timbun Mata, Kunak, enam individu termasuk seorang bapa berusia 37 tahun bersama dua anaknya berusia 6 dan 10 tahun, berjaya diselamatkan selepas bot gentian kaca yang membawa bekalan air bocor akibat melanggar objek terapung.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Menyelamat Maritim Kota Kinabalu pada jam 1.45 petang sebelum menggerakkan aset ke lokasi kejadian.
Sementara itu, sebuah bot rondaan APMM Sandakan menahan sebuah kumpit (bot kargo kayu dari Filipina) yang berlepas dari Sandakan kerana membawa barang bersubsidi tanpa kebenaran, kira-kira 0.8 batu nautika dari perairan Tanjung Aru, Sandakan.
Pengarah Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, hasil pemeriksaan menemui 50,000 liter petrol (250 tong), 3,000 liter diesel (15 tong), dan 20 silinder gas LPG di atas bot berkenaan.
“Turut ditahan, lapan kru berusia 27 hingga 50 tahun serta enam penumpang warga asing (empat lelaki, dua wanita) berumur antara 16 hingga 41 tahun,” katanya.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM830,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan lain, Angkatan Pertahanan Awam (APM) membersihkan sebatang pokok setinggi 20 kaki yang tumbang dan menghalang Jalan Lapangan Terbang, Sandakan pada petang Isnin.
Pasukan APM tiba pada jam 6.57 petang selepas menerima maklumat daripada polis, dan berjaya membersihkan kawasan menggunakan gergaji rantai pada jam 7.16 petang.
Tiada kecederaan dilaporkan. Seramai enam anggota APM dan bomba terlibat dalam operasi tersebut.

PERIKSA …. Anggota APMM memeriksa barang bersubsidi yang ditemui di atas kumpit di perairan Sandakan, Isnin lalu.