Oleh JOHN TAMBANAN
TAWAU: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Cawangan Sabah menunjukkan komitmen tinggi untuk meneroka potensi pasaran halal di Indonesia menerusi satu kunjungan hormat ke Konsulat Indonesia di Tawau baru-baru ini.
Delegasi MCCC Sabah yang diketuai Presidennya, Datuk Dexter Lau, telah menyampaikan hasrat rasmi untuk memperkukuh hubungan ekonomi serantau, khususnya dalam sektor halal, serta memohon sokongan konkrit daripada pihak konsulat termasuk akses kepada data pasaran utama dan inisiatif pemadanan perniagaan.
Delegasi tersebut telah disambut mesra oleh Konsul Jeneral Indonesia, Aris Heru Utomo bersama beberapa pegawai kanan termasuk Kepala Kanselerai Wiryawan Prah Utomo, Pelaksana Fungsi Ekonomi Tri Wulandari dan Staf Ekonomi James Kumanireng.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mendalam mengenai kerjasama ekonomi rentas sempadan, potensi pembangunan industri halal dan pembinaan hab logistik yang dapat memberi manfaat kepada usahawan Sabah dan Indonesia.
Dexter menegaskan bahawa Indonesia, sebagai negara majoriti Muslim terbesar dunia dengan populasi melebihi 280 juta, menawarkan pasaran yang amat luas bagi sektor seperti makanan halal, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan yang semakin berkembang.
“Kami bukan sekadar memberi kata-kata manis. Kami mahu bertindak secara nyata. Kami memohon bantuan konsulat untuk mendapatkan data pasaran lebih terperinci agar tindakan yang diambil berasaskan realiti, bukan andaian,” katanya dalam pertemuan itu.
Dexter juga mengakui bahawa walaupun MCCC sentiasa menggalakkan ahlinya meneroka pasaran luar, masih wujud kekurangan dari segi panduan praktikal termasuk penilaian risiko dan navigasi pasaran, menyebabkan ramai usahawan berpotensi tiada hala tuju jelas.
Justeru, MCCC Sabah turut menyuarakan hasrat menganjurkan delegasi perniagaan ke Makassar dan memohon bantuan Konsulat Indonesia untuk memfasilitasi pertemuan dengan pemain industri tempatan dalam sektor berkaitan halal bagi membina kerjasama kukuh dan berkesan.
Kunjungan tersebut berlangsung dalam suasana yang mesra dan produktif, dengan pertukaran pandangan mengenai pengukuhan kerjasama perdagangan dan perkongsian maklumat, sekaligus membuka ruang kepada hubungan ekonomi yang lebih erat antara Sabah dan Indonesia.






