KEMENTERIAN Kerja Raya Sabah (KKRS) sentiasa mengambil serius isu banjir, terutama di kawasan rendah yang terjejas ketika hujan lebat, kata Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury.
Beliau berkata, dalam konteks Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, KKRS telah memastikan langkah-langkah mitigasi banjir menjadi keutamaan dalam perancangan dan pelaksanaan projek ini, supaya projek ini tidak memberi kesan negatif kepada sistem saliran dan keadaan banjir di kawasan terlibat.
Katanya, beberapa usaha telah dilaksanakan sejak peringkat awal perancangan projek, antaranya reka bentuk jajaran Lebuhraya Pan Borneo telah melalui proses penilaian yang teliti dan mendapat kelulusan daripada agensi kerajaan yang berkaitan.
“Termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah di mana rekabentuk pembetung juga telah diambil kira berdasarkan 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI) mengikut standard garis panduan MSMA yang dikeluarkan oleh JPS Malaysia,” katanya pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Dr. Daud Yusof (Warisan-Bongawan) apakah usaha kerajaan untuk memastikan tidak berlaku banjir setiap kali hujan lebat di kawasan yang rendah berkaitan dengan projek melibatkan Projek Pan Borneo dan adakah perbincangan dilakukan antara kementerian dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah untuk mengatasi masalah ini.
Limus berkata, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD) Sabah turut memainkan peranan penting termasuklah kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan simulasi banjir yang dijalankan sebelum pelaksanaan projek.
“Rekabentuk projek ini turut mengambil kira simulasi banjir untuk memastikan pembinaan lebuhraya tidak menyebabkan perubahan ketara dalam aliran air dan sistem saliran sedia ada. Pendekatan ini memastikan agar banjir tidak menjadi lebih buruk akibat projek pembinaan ini,” katanya.
Katanya, KKRS mengambil langkah inovatif dengan merekabentuk jalan bertingkat di daerah Beaufort yang mana sering terjejas dengan banjir ketika musim hujan.
“Dengan adanya jalan bertingkat ini, aliran air hujan tidak akan terhalang oleh laluan lebuhraya yang dapat mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya. Langkah ini juga diambil bagi mengurangkan impak banjir terhadap kawasan sekitarnya,” katanya.
Limus berkata, sepanjang fasa pembinaan, beberapa langkah telah dilaksanakan untuk mengurangkan impak banjir, termasuk penyelenggaraan saliran perparitan sementara dan baharu.
Katanya, pihak kontraktor bertanggungjawab untuk memastikan saliran sementara dan saliran baharu yang dibina tidak terhalang oleh kelodak, sampah, atau tumbuhan.
“Pemantauan dan penyelenggaraan rutin telah dilaksanakan bagi memastikan aliran air sentiasa lancar,” katanya.







