Pementasan ‘Tempua Bersarang Rendah’ 17-18 Okt di Dewan Amil Jaya DBP

KOTA KINABALU: Persatuan Penggerak Teater Puisi Tari dan Irama Sabah (Puteri) kembali menghangatkan pentas teater tempatan menerusi pementasan Tempua Bersarang Rendah karya dan arahan Maskuji Maturon di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, pada 17 dan 18 Oktober ini, jam 8 malam.
Sebelum ini, naskhah berkenaan dipentaskan oleh Teaterawan Production pada 12 dan 13 September lalu di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Pementasan oleh Puteri itu diharap dapat menghidupkan kembali suasana teater di DBP Sabah yang pernah menjadi tumpuan penggiat seni pentas suatu ketika dahulu.
Maskuji berkata, pementasan kali ini mengetengahkan elemen seni dan budaya baharu, khususnya dari kawasan utara Sabah, bagi memperkaya pengalaman penonton.
“Teater ini menjanjikan pengalaman seni yang menghiburkan dan penuh penghayatan, dengan mesej yang diharapkan dapat menyentuh hati masyarakat,” katanya.
Tempua Bersarang Rendah mengisahkan kehidupan Sobri, seorang bekas posmen yang dibebani sepucuk surat peninggalan ibunya yang tidak sempat disampaikan ketika hayatnya. Dalam usaha menunaikan amanah itu, Sobri bertemu Kairus, seorang lelaki licik yang membawanya melalui pelbagai pengalaman dan kekecewaan.
Kisah ini turut memaparkan pergolakan rumah tangga Rosdi dan Nandong yang tidak direstui keluarga sehingga terpaksa tinggal di sebuah bangunan hotel terbengkalai di pekan Kudat sekitar 1970-an.
Konflik cinta, kesetiaan, kemiskinan dan perjuangan mempertahankan seni teater mewarnai perjalanan watak-watak berkenaan, sekali gus mengangkat sisi kemanusiaan dalam menghadapi kesukaran hidup.
Pementasan itu dijangka menarik perhatian peminat seni tempatan, selain membuka peluang kepada masyarakat untuk menghayati karya teater tempatan.
Orang ramai, khususnya peminat seni di sekitar Kota Kinabalu, dijemput menyaksikan pementasan karya Maskuji, yang tidak asing lagi dalam dunia teater Sabah.

Maskuji Maturon.