‘Konsert Suara 34 Zon Sabah’ 24 Mei di Auditorium Kompleks JKKN Sabah

KOTA KINABALU: Buat julung kalinya, RTM Sabah akan menerbitkan ‘Konsert Suara 34 Zon Sabah’ dengan tema ‘Muzik Kita, Jiwa Kita’.
Sabah merupakan lokasi kedua dalam jelajah Konsert Suara 34 yang akan diadakan di seluruh negara mengikut zon.
Program hiburan yang akan menampilkan gabungan mantap artis terkenal tanah air dan tempatan negeri Sabah ini akan diadakan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Kota Kinabalu pada Sabtu, (24 Mei 2025), bermula pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam.
Program akan dihadiri tetamu kehormat, Saifuzzaman Yusop, Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia.
Konsert Suara 34 merupakan kesinambungan daripada program radio ‘Suara 34’ yang merupakan sebuah inisiatif strategik yang telah berjaya disiarkan secara serentak di 34 stesen radio RTM.
Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan tetapi sebahagian daripada usaha Bahagian Program Radio untuk mengukuhkan jenama Suara 34 dalam kalangan pendengar.
Konsert dua jam ini akan menampilkan persembahan bertenaga oleh Hazama, Azharina Azhar, Adira, Candy, Jacklyn Chia, Afieq Syazwan, Kiki, dan turut diwarnai dengan persembahan tarian daripada Ala Panggung Production serta diiringi Kombo Muzik RTM Sabah.
Turut menyerikan konsert ini adalah persembahan gabungan juruhebah 6 stesen radio Zon Sabah terdiri SABAHfm, LABUANfm, SABAHVfm, TAWAUfm, SANDAKANfm dan KENINGAUfm.
Sementara itu, DJ Pyan, DJ Edith dan Atu Zero diberi tanggungjawab sebagai pengacara konsert.
Konsert ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2, semua radio RTM Zon Sabah, RTMKlik dan media sosial rasmi RTM Sabah bermula pukul 9.00 malam.
Program ini juga hasil kerjasama strategik antara RTM Sabah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.
Orang ramai sekitar Kota Kinabalu diundang hadir dan masuk adalah percuma.

‘KONSERT Suara 34 Zon Sabah’ 24 Mei di Auditorium Kompleks JKKN Sabah.