LABUAN: Satu sesi perbincangan rasmi telah berlangsung antara delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Asosiasi Perguruan Tinggi Informatika dan Komputer (APTIKOM), di Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta, Indonesia pada 15 Mei lalu.
Delegasi UMS diketuai oleh Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Profeso Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi.
Turut bersama beliau ialah Ketua Task Force Pembangunan Perniagaan (Penjanaan Kualiti). Prof. Madya Dr. Muzaffar Hamzah.
Wakil rasmi dari APTIKOM pula ialah Dr. Husni Teja Sukmana, yang menjawat jawatan Setiausaha Agung (Sekretaris Jenderal) APTIKOM.
Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada potensi kerjasama strategik merangkumi pelaksanaan program penyelidikan bersama, pemantapan kurikulum serta pembangunan akademik dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Turut dibincangkan ialah peluang pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan inisiatif Program Edutourism yang berteraskan pertukaran kepakaran dan pengalaman antara kedua-dua negara.
Kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh hubungan dua hala antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia, di samping membuka ruang kolaborasi rentas negara yang mampan dalam ekosistem pendidikan tinggi serantau.








