
Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
SIPITANG: Petugas barisan hadapan yang melakukan sekatan jalan raya di Kampung Nalayuan, di sini, berdepan detik cemas apabila khemah dan papan tanda operasi berkenaan diterbangkan angin kencang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, petugas yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, hujan ribut yang melanda kawasan berkenaan mencabar petugas Op Covid-19 yang sedang bertugas di lokasi berkenaan.
Katanya, hujan lebat dan angin kencang yang melanda kawasan itu menyebabkan khemah Op Covid-19 berkenaan berterbangan.
“Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan khemah gantian segera dipasang semula.
”Operasi sekatan jalan raya untuk tugasan Op Covid-19 kemudiannya dijalankan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Champin berkata, pengorbanan PDRM dan barisan hadapan lain sentiasa terdedah kepada hujan atau ribut demi keselamatan dan kesihatan warga daerah ini.
“Semua warga Sipitang dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan PKP kerana wabak Covid-19 boleh menyerang sesiapa saja dan boleh membawa maut.
“Oleh itu, polis tidak akan berkompromi kepada orang ramai yang melanggar PKP yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.
tamat




