JELAPANG PADI SABAH DI KOTA BELUD TERUSKAN AKTIVITI PERTANIAN SEMASA PKP

KOTA BELUD: Jelapang padi Sabah di sini terus beroperasi tanpa sebarang halangan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas, kata Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud Salmah Labulla.

Beliau berkata kawasan tanaman padi seluas 8,500 hektar di bawah pemantauan IADA Kota Belud beroperasi seperti biasa apabila pesawah turut kelihatan menjalankan aktiviti menanam padi dan membajak sawah, selain menuai hasil tanaman.

Salmah berkata operasi jelapang padi Sabah diteruskan selepas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan peringkat Persekutuan, melalui Bahagian Industri Padi dan Beras, mengeluarkan surat pekeliling yang menyatakan bahawa aktiviti pertanian itu boleh diteruskan dalam tempoh PKP.

“Pada awalnya, semua orang khuatir untuk beroperasi seperti biasa. Bagaimanapun selepas menerima surat itu, agensi kami termasuk pesawah menjalankan aktiviti berkaitan seperti biasa. Kilang padi di sini juga turut beroperasi.

“Cuma pada tempoh ini, kebanyakan kawasan tanaman padi Kota Belud sedang di peringkat penanaman dan bukan penuaian. Tidak banyak aktiviti dilakukan. Pesawah hanya melakukan (kerja-kerja penjagaan padi seperti) menyembur racun, mengawal saluran air dan rumpai,” katanya kepada Bernama.

 

Salmah berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan daripada pesawah mengenai namun mereka hanya mengalami sedikit masalah berikutan kedai menjual barangan pertanian ditutup dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, IADA Kota Belud telah memohon kepada pejabat daerah untuk memberi kelonggaran bagi membolehkan kedai terbabit boleh beroperasi mengikut masa yang ditetapkan, katanya.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Belud turut memainkan peranan menghantar baja ke setiap kampung, sebelum ketua kampung mengagihkannya kepada pesawah yang memerlukan mengikut jadual supaya proses penyerahan lebih sistematik dan selamat.

Langkah ini penting dan perlu dititik berat dalam memastikan semua penggiat sektor tanaman padi di Kota Belud terhindar daripada jangkitan COVID-19 dengan mengamalkan jarakan sosial dan mengelak berkumpul, katanya.

“IADA Kota Belud juga akan menghantar surat kepada kerajaan negeri bagi memohon bekalan penutup hidung dan mulut untuk para petani. Sekurang-kurangnya mereka akan berasa lebih selamat apabila keluar berurusan,” katanya.

— BERNAMA