Lelaki Hilang Di Sungai Kampung Sumbiling, Bongawan, Ditemui Lemas.

Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com

Bongawan: Seorang lelaki berusia 54 tahun yang hilang ketika aktiviti mandi di Sungai Kampung Sumbiling, di sini, sejak Khamis lalu ditemui lemas, hari ini.

Mangsa Martin Limbas, ditemui kira-kira 1 kilometer daripada lokasi dia dilaporkan hilang kira-kira jam 1 petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, operasi pencarian dimulakan Khamis lalu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 petang daripada ahli keluarga mangsa.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dijalankan sehingga jam 6 sebelum ditangguhkan ekoran keadaan cuaca semakin gelap.

“Pada hari berikutnya, sepasukan 13 anggota bomba termasuk Pasukan Pencarian Dalam Air (PPDA) menjalankan operasi mencari mangsa namun masih gagal menemuinya.

“Operasi disambung semula pagi ini dan mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 1 petang tadi,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 1.05 petang.

Katanya, operasi pencarian hari ini dijalankan dengan bantuan penduduk kampung sekitar.

Tamat