KEPATUHAN RAKYAT PENTING UNTUK BENDUNG COVID-19

KOTA KINABALU: Kerjasama dan komitmen rakyat Sabah dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang memasuki fasa ketiga Rabu ini adalah penting, sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 sekali gus menghapuskan sepenuhnya penularan wabak itu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, rakyat di negeri ini juga perlu terus peka terhadap arahan dan nasihat diberikan kerajaan, selain sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga demi kesihatan dan keselamatan mereka.

“Rakyat perlu memberi kerjasama dengan mematuhi pelaksanaan PKP. Jangan keluar rumah tanpa sebarang tujuan atau alasan kukuh,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan penutup mulut dan hidung untuk petugas RTM Sabah dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Sabah di sini, hari ini.

Poon berkata, sumbangan itu adalah tanda penghargaan dan keprihatinan kerajaan negeri khususnya kementeriannya kepada pengamal media di Sabah, yang turut berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam menyampaikan perkembangan terkini mengenai COVID-19 dan PKP di negeri ini.

— BERNAMA