Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas diserang buaya ketika memancing di Sungai Semayan, Pulau Banggi, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikatakan pergi memancing bersama abang kandungnya sebelum disambar reptilia berkenaan ketika cuba melepaskan mata kail yang tersangkut.
Difahamkan, mangsa yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Semayan dikatakan turun ke sungai bagi melepaskan mata kail pancingnya sebelum diserang buaya.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang guru di sekolah berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.
“Mangsa dipercayai turun ke sungai untuk melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut sebelum disambar seekor buaya.
“Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mohd Haris berkata, selepas beberapa jam operasi pencarian dijalankan, mangsa ditemukan meninggal dunia di bawah jambatan Sungai Semayan, tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan diserang.
Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.
“Proses bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat pengesahan pihak forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

LOKASI KEJADIAN… Lokasi mangsa dilaporkan diserang buaya ketika cuba melepaskan mata kail pancingnya yang tersangkut di Sungai Semayan, Pulau Banggi.





