
GEORGE TOWN: Polis menahan lima individu termasuk sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM55,497.20 dan menyita wang tunai sebanyak RM878,236 dalam dua serbuan berasingan di Seberang Jaya dan Bukit Tambun, dekat sini pada Jumaat serta Sabtu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis melancarkan operasi bermula pukul 6.30 petang Jumaat hingga 12.00 tengah hari Sabtu dan menahan dua lelaki di kawasan Seberang Jaya sebelum menyerbu sebuah rumah banglo dua tingkat setengah di Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan.
“Polis menahan empat lelaki berumur 30 hingga 41 tahun dan seorang remaja perempuan berumur 18 tahun dalam operasi itu sebelum kami merampas 6,053.30 gram (g) heroin, ganja (8.07 g), syabu (4.91 g), ketamin (1.12 g) serta 16 biji pil eramin 5. Semua dadah itu bernilai RM55,497.20.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah banglo milik ketua sindiket yang berumur 41 tahun berkenaan, polis menyita wang tunai sebanyak RM878,236 yang disembunyikan dalam beberapa bahagian di kediaman itu serta kenderaannya.
Semua wang berkenaan adalah hasil kegiatan jual beli dadah sejak dua hingga tiga bulan lepas,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata selain wang tunai, polis turut merampas dua kenderaan mewah jenis Honda bernilai RM149,500 serta barang kemas sebanyak RM26,487 daripada mereka terutama ketua sindiket pengedaran dadah terbabit.
Sahabudin berkata siasatan mendapati sindiket itu menjadikan rumah banglo berkenaan sebagai tempat membungkus serta menyimpan bekalan dadah dan pasaran mereka adalah di sekitar negeri di wilayah utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak.
Katanya, empat lelaki itu mempunyai pelbagai rekod lampau serta positif dadah manakala remaja perempuan yang merupakan teman wanita kepada ketua sindiket itu tidak mempunyai sebarang rekod.
“Kesemua mereka yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua dadah yang polis rampas itu boleh digunakan oleh 15,193 orang jika ia terlepas di pasaran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang bermula 18 Mac hingga 10 April lepas, polis menahan seramai 197 orang kerana terlibat dalam 149 kes membabitkan kegiatan penagihan serta pengedaran dadah.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan dalam sekatan jalan raya dan rondaan yang dijalankan oleh polis sepanjang Op COVID-19 dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM423,010 daripada mereka.
— BERNAMA







