Polis Buru Tujuh Lagi Tahanan PTS Manggatal.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

Kota Kinabalu: Polis sedang giat menjejaki tujuh tahanan yang berjaya meloloskan diri di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, seramai 18 tahanan melarikan diri selepas bertindak merempuh pintu sel di pusat tahanan berkenaan dan mencederakan pegawal keselamatan yang bertugas.

Bagaimanapun, tiga daripadanya berjaya ditahan semula manakala 13 melarikan diri ke arah belakang pusat tahanan dengan memanjat pagar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan polis diarah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, enam lagi daripada tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula berhampiran kawasan berkenaan sehingga pagi hari ini.

“Operasi menjejaki semua suspek terus dipergiatkan dengan menggunakan elemen berkaitan dalam polis termasuk unit anjing pengesan K-9.

“Polis sudah mengepung kawasan sekitar pusat tahanan berkenaan dalam usaha menjejaki baki tujuh suspek yang meloloskan diri,”katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Rakhman.

Habibi berkata, tujuh tahan yang masih bebas dikenali sebagai Topi Topi Jul, Abdul Damsil, Rafie Sakib, Jamal Nasir, Julham Sahdul, Haikal Kadapi dan Abdillah Harun.

Katanya, semua suspek yang melarikan diri adalah warga Filipina berusia lingkungan 12 hingga 50 tahun dan semua mereka sedang menunggu proses penghantaran pulang selepas ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tujuh lagi suspek supaya segera menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian – 088221191/529211, untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan yang sah.

tamat