Tiga Individu Ditahan Langgar PKP

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

SIPITANG: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan dua tangkapan berasingan di daerah ini, semalam.

Bagaimanapun, ketika soal siasat dijalankan, semua suspek terbabit mengaku baru melepaskan gian menghisap dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kes pertama dilaporkan berlaku pada jam 2.50 petang membabitkan Perodua Alza yang bergerak yang dari arah Kampung Mendalong menuju ke pekan Sipitang.

Katanya, sebaik petugas keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 cuba melakukan pemeriksaan, pemandu kenderaan bertindak memecut keretanya untuk melarikan diri dari lokasi kejadian.

Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia berusia 30 tahun berjaya dikesan di hadapan sebuah pasaraya di daerah Sipitang.

“Kereta yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dapat meloloskan diri namun akhirnya berjaya dikesan di hadapan sebuah pasaraya.

“Pemandu kemudiannya ditahan pada jam 6 petang hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, tangkapan kedua pula membabitkan seorang lelaki bersama wanita masing-masing berusia 41 dan 34 tahun.

Katanya, mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Kampung Merintaman, di sini, pada jam 9.25 malam.

“Petugas Op Covid-19 menahan sebuah kereta jenis Toyota Corina Wagon dinaiki kedua-dua individu terbabit selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ditanya alasan mereka keluar, kedua-duanya memberi alasan tidak munasbah dan anggota polis menahan sebelum membawa suspek ke Balai Polis Sipitang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Champin berkata, siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua individu yang menaiki kereta Toyota Corona Wagon turut mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah.

“Ketiga-tiga suspek direman mengikut Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Langkah Khas Di Kawasan Tempat Berjangkit 2020,” katanya.

tamat