GUNA LALUAN ‘ESSENTIAL SERVICE’ SELUDUP RM7.4 JUTA ARAK GAGAL.

Fardy Bungga

asiatimeskk.gmail.com

Beaufort: Cubaan penyeludup minuman keras memperdayakan pasukan keselamatan disebalik perkhidmatan perlu (essential services) tidak kesampaian apabila dua lori yang membawa muatan arak bernilai RM7.4 juta ditahan polis di Jalan Pekan Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, polis berjaya merampas 5,070 kotak minuman keras pelbagai jenama dan menahan dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 40 tahun.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, bertindak atas maklumat, Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan berjaya menahan dua lori yang ketika itu cuba menggunakan laluan perkhidmatan perlu.

Katanya, anggota pasukan keselamatan yang menjalankan pemantauan di jalan itu menahan kedua-dua lori berkenaan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua lori itu berjaya menemui sejumlah minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai baru diseludup masuk ke negeri ini.

“Semua minuman keras itu diletakkan di ruang kargo barang dan ditutup menggunakan kanvas bagi mengaburi mata pihak berkuasa,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun, Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Mazli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Mazli berkata, setakat ini Polis Sabah merekodkan lima kes seludup sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Katanya, lima kes penyeludupan berkenaan berlaku di Semporna dengan tiga kes dan masing-masing satu kes di Tawau dan Labuan membabitkan penyeludupan minuman keras, bahan basah dan diesel.

“Sehubungan itu, polis akan sentiasa menjalankan operasi mencegah sebarang jenayah penyeludupan meskipun kita sedang bekerja keras untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19 ini,” katanya.

tamat