Akhirnya Akur Dimasukkan Ke Pusat Kuarantin Selepas Menghilangkan Diri Lebih 24 Jam.

Fardy Bungga

asiatimeskk@gmail.com

LAHAD DATU: Lelaki warga Filipina yang melarikan diri selepas diarahkan menjalani proses kuarantin, semalam, menyerah diri, di Pusat Kuarantin Felda Residence Sahabat 16, di sini hari ini.

Difahamkan, suspek dihantar oleh ahli keluarganya ke pusat kuarantin berkenaan pada pukul 1.30 petang selepas menghilangkan diri lebih 24 jam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor mengesahkan perkara berkenaan menerusi kenyataan medianya, hari ini.

“Mengenai kejadian seorang lelaki menghilangkan diri untuk elak dikuarantin sebelum ini. Suspek sudah berjaya dikesan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Lelaki berusia 30-an itu sudah dihantar ke Pusat Kuarantin Felda Residence Sahabat 16,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, pengurus ladang tempat suspek bekerja menghubungi Balai Polis Desa Kencana memaklumkan ahli keluarga suspek akan menghantarnya ke pusat berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, suspek yang dikenali sebagai Jul, didakwa hilang dipercayai enggan ditempatkan di Pusat Kuarantin Covid-19 Felda Residence Sahabat 16, semalam.

Suspek dikatakan datang ke Klinik Kesihatan Felda Sahabat untuk menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19 namun selepas sampel ujian diambil, lelaki itu diarahkan untuk ditempatkan di pusat kuarantin berkenaan.

Bagaimanapun, suspek terus menghilangkan diri dipercayai enggan dimasukkan ke pusat berkenaan.

Pihak polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tindakan akan diambil sebaik suspek tamat menjalani tempoh kuarantin.

Tamat