Fardy Bungga
asiatimeskk@gmail.com
Lahad Datu: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah melaksanakan pemantauan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga, di perairan Lahad Datu, Kunak dan Semporna, hari ini.
Operasi pemantauan yang dijalankan menggunakan dua bot ronda PPM berkenaan mula beroperasi pada jam 8.45 pagi hingga jam 11 pagi.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi berkenaan adalah bagi memantau penguatkuasaan PKP Fasa Tiga di perairan berkenaan.
Katanya, beliau juga turut memberikan sesi taklimat kepada petugas Barisan Hadapan PPM berhubung arahan semasa penguatkuasaan PKP.
“Saya juga berkesempatan untuk berjumpa dan memberi nasihat kepada penduduk sekitar supaya sentiasa mematuhi penguatkuasaan PKP.
“Sesi penerangan yang dijalankan juga berkaitan situasi semasa dan Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, hasil tinjauan juga mendapati komuniti pulau di perairan Lahad Datu dan Semporna telah memberi kerjasama yang baik.
Katanya, PPM mengesan terdapat juga aktiviti-aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan tempatan yang dibenarkan oleh kerajaan.
Tamat




