
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan pengawasan dan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kerjasama pemantauan sekitar perairan Semporna itu sudah dijalankan sejak 25 Mac lalu selepas diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Norrimi Hassan berkata, penguatkuasaan kepada pematuhan PKP melalui Operasi Inter-Agensi yang memasuki fasa ketiga ini akan lebih diperketatkan dan dipertingkatkan.
Katanya, operasi ini membabitkan dua bot peronda Maritim Malaysia dan dua bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) yang melaksanakan pemantauan di sekitar perairan Alur Tando Bulong, Semporna bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang setiap hari.
“Sepanjang pemantauan dijalankan, majoriti yang ditemui adalah dalam kalangan penduduk setempat Pulau Bum-Bum yang ingin membeli keperluan harian di Pekan Semporna.
“Mereka dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada PKP dan mengamalkan cara kebersihan disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti memakai topeng muka, sentiasa mencuci tangan dan menjaga jarak sosial satu meter,”katanya.

Norrimi berkata, setakat ini, rondaan yang dilaksanakan mendapati, tiada aktiviti pelancongan atau aktiviti riadah dijalankan sekitar perairan Semporna.
Katanya, pemantauan PKP ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya dapat memberi kesedaran maksimum seterusnya kesan positif kepada komuniti maritim khususnya.
“Sempadan perairan negara terutama di perairan Semporna akan turut diperketatkan bersama pasukan PPM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” tegasnya.
Tamat




