SCCC Sumbangkan 3,000 Topeng Muka Kepada DBKK.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Dewan Perniagaan Cina Sabah (SCCC) menyumbangkan 3,000 topeng muka kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk diedarkan kepada tenaga kerjanya.

Sumbangan berkenaan diberikan bagi membantu meningkatkan penjagaan keselamatan diri setiap pegawai dan anggota DBKK dalam menjalankan tugasan setiap hari, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Sumbangan disampaikan Pengerusi SCCC, Datuk Frankie Liew bersama barisan pimpinan tertinggi SCCC kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, di Bangunan DBKK, hari ini.

Datuk Nordin Siman ketika ditemui berkata, sumbangan ini bukan saja memenuhi keperluan peralatan keselamatan tetapi juga secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada semua tenaga kerja DBKK.

Katanya, disaat genting berdepan penularan wabak Covid-19 ketika ini, setiap tenaga kerja DBKK memerlukan sokongan berterusan dari seluruh masyarakat bagi memastikan bandaraya ini sentiasa teratur dan bersih.

“Kita amat berterima kasih kepada SCCC kerana bermurah hati menyampaikan sumbangan topeng muka untuk dibekalkan kepada warga DBKK.

“Setiap hari, DBKK memerlukan sekurang-kurangnya 900 topeng muka untuk digunakan warga DBKK dalam menjalankan tugas masing-masing,”katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan berkenaan.

Nordin berkata, pihaknya berharap lebih ramai pihak badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan keperluan termasuk topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitizer) kepada petugas DBKK bagi mencegah jangkitan virus itu.

Tamat