Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Cubaan menyeludup keluar 6,000 liter minyak petrol bersubsidi gagal selepas berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi di perairan Kudat, di sini, pada Ahad.
Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, semua bahan bakar berkenaan dikesan dibawa menggunakan sebuah bot pam yang dipercayai cuba dihantar ke negara jiran.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi dilaksanakan hasil maklumat risikan yang diterima daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah.
Katanya, bot pam berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan pada jarak kira-kira 1.5 batu nautika dari Tanjung Kalutan, Balambangan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Ketika bot ronda Maritim Malaysia menghampiri bot berkenaan, tiga individu dilihat bertindak terjun ke laut cetek dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.
“Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan mendapati terdapat 25 tong plastik berwarna biru berisi minyak petrol dengan anggaran keseluruhan kira-kira 6,000 liter.
“Muatan bahan api tersebut dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap atau diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya.
Menurutnya, bot pam bersama minyak petrol yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM60,000 itu terus dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran atau permit yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, Hasbullah berkata, pihaknya menyeru orang awam khususnya komuniti maritim agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat menerusi talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

DITAHAN …. Bot pam dirampas selepas dikesan membawa mingak petrol bersubsidi tanpa kebenaran atau permit sah.



