Enam rumah musnah terbakar di Kampung Ketiau

Oleh FARDY BUNGGA
PUTATAN: Enam rumah dilaporkan musnah dimamah api selepas terbakar dalam kejadian di Kampung Ketiau, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan tujuh lagi rumah berhampiran daripada terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.48 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi sebelum tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan enam rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran air dengan bantuan jentera bomba serta sumber air terbuka, sebelum api berjaya dikawal pada jam 6.24 pagi,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan tujuh buah rumah berhampiran daripada turut terbakar, selain sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Selain itu katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
“Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Selepas keadaan disahkan selamat, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.59 pagi,” katanya.

KAWAL API …. Pasukan bomba cuba mengawal api kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran.