Fardy Bungga
asiatimearp@hotmail.com
Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa siasatan telus perlu dilakukan membabitkan dakwaan insiden Pengarah Imigresen Sabah mengherdik petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Presidennya, Adnan Mat berkata, sekiranya perkara ini benar-benar berlaku seperti yang didakwa maka pihak CUEPACS melahirkan rasa kekesalan kerana tindakan berkenaan tidak patut dilakukan oleh seorang pegawai kerajaan.

Katanya, CUEPACS menggesa supaya Jabatan Imigresen sendiri menyiasat insiden berkenaan bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang.
“Tindakan seperti ini tidak patut dilakukan oleh seorang pegawai kerajaan apatah lagi ianya datang daripada seorang pegawai kanan berpangkat Pengarah.
“Tindakan sewajarnya daripada hasil siasatan berkenaan juga perlu diambil bagi memastikan kepercayaan penjawat awam dan rakyat tidak terhakis dengan insiden itu,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Adnan berkata, CUEPACS percaya insiden seperti ini memang terjadi dalam persekitaran kerja penjawat awam.
Bagaimanapun katanya, ianya mungkin tidak dilaporkan kerana bimbang tindakan berkenaan tidak mendapat pembelaan sewajarnya hingga yang akan dipersalahkan adalah si pengadu itu sendiri.
“Justeru itu, siasatan yang telus dan disusuli dengan tindakan perlu dibuat bagi memastikan insiden ini tidak berulang ada masa akan datang.
“Sebagai seorang penjawat awam yang sudah berikrar untuk berkhidmat demi negara, setiap penjawat awam seharusnya mengamalkan sikap saling hormat menghormati sesama sendiri walaupun berbeza jabatan atau pun pangkat.
“Setiap jabatan dan penjawat awam itu sendiri mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara,”katanya.
Adnan berkata, CUEPACS berharap semua penjawat awam kekal fokus dalam melaksanakan tugas masing-masing ketika keadaan negara berhadapan COVID-19.
“Semua pihak perlu bergandingan dan bekerjasama bagi memastikan kejayaan negara menyekar penularan wabak ini,”katanya.
Tamat







