Dua Warga Pakistan Ditahan Bersama Rokok Seludup.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Dua lelaki warganegara Pakistan bukan saja ditahan bersama 755 karton rokok seludup, malah sanggup menawarkan rasuah sebanyak RM7,000 kepada anggota polis supaya dilepaskan.

Tawaran itu bagaimanapun gagal memperdayakan anggota polis yang kemudiannya menahan kedua-dua lelaki terbabit dalam kejadian di Jalan Ulu Putatan, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasat awal mendapati kedua-dua suspek yang menaiki Perodua Bezza cuba meloloskan diri dengan membuat pusingan U bagi mengelakkan pemeriksaan sekatan jalan raya Op Covid-19 di jalan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek kemudiannya bertembung dengan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan ‘Snap Check’ Op Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 755 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM24,450 yang diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

“Suspek gagal mengemukakan bukti pembelian bercukai dari kastam yang menjadi kesalahan mengikut Akta Kastam 1967,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim.

Mazli berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek membawa wang tunai sebanyak RM37,409 dipercayai hasil jualan rokok berkenaan.

“Kes bersabit rokok seludup disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Penampang manakala cubaan rasuah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, Mazli berkata, kedua-dua suspek turut berhadapan siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan juga didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Tamat