Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Seramai 166 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina berjaya dihantar pulang ke negara asal, dalam Program Pemindahan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran itu melibatkan seramai 118 lelaki, 20 wanita dan 28 kanak-kanak.
Katanya, semua PATI itu ditahan di Depot Imigresen dan dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke negara jiran.
“Semua yang terlibat telah selesai melalui proses perundangan di Malaysia dan melepasi proses verifikasi dokumen perjalanan daripada pihak Kedutaan Asing di negara ini.
“Mereka semua dihantar pulang menerusi program pemindahan tahanan balik ke negara asal melalui Pelabuhan Lahad Datu,“ katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 2,183 tahanan PATI sudah dipindahkan balik ke negara asal melalui pengangkutan laut dan udara.
Sehubungn itu, JIM Sabah menyeru kepada semua pihak agar lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti, tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.
Katanya, orang ramai juga digalakkan agar segera melaporkan kegiatan PATI kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Maklumat boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) https://eapp.imi.gov.my,” katanya.


HANTAR PULANG …. Seramai 166 PATI berjaya dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut dari Pelabuhan Lahad Datu.









