Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Sabah melancarkan Laporan Petunjuk Alam Sekitar 2025 bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai keadaan alam sekitar negeri ini, selain memperkukuh perancangan dan pemantauan pada masa depan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata laporan itu merangkumi lima bidang utama iaitu guna tanah, kualiti udara, kualiti air, biodiversiti dan dimensi sosial.
Katanya, laporan berkenaan turut mengetengahkan trend alam sekitar, cabaran serta langkah penambahbaikan berdasarkan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Alam Sekitar Kebangsaan 2026 peringkat Sabah di sebuah hotel, di sini.
Menurutnya, Laporan Petunjuk Alam Sekitar Sabah pertama diterbitkan pada 2003, manakala edisi terbaharu itu dihasilkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Laporan berkenaan disediakan berdasarkan kajian pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar Sabah dan Pelan Induk Pemantauan Kualiti Alam Sekitar.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kekangan masih dihadapi berikutan jurang serta ketiadaan data tertentu.
Keadaan itu menunjukkan keperluan membangunkan pangkalan data alam sekitar secara lebih sistematik, selain memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan perancangan dan pemantauan lebih menyeluruh serta berkesan.
Jafry berkata, perlindungan alam sekitar kekal sebagai komitmen utama kerajaan negeri bagi memastikan keseimbangan antara kelestarian alam sekitar dengan pembangunan sosial dan ekonomi.
Katanya, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Persekutuan memainkan peranan penting dalam usaha melindungi alam sekitar negeri ini.
JPAS yang bernaung di bawah kementeriannya bertanggungjawab menguatkuasakan Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002, manakala JAS menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta memantau kualiti udara, sungai, marin dan air bawah tanah.
JPAS turut berperanan sebagai urus setia Rangkaian Pendidikan Alam Sekitar Sabah (SEEN) yang ditubuhkan pada 2005 dan kini mempunyai 44 organisasi ahli, terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi serta sektor swasta.
Sementara itu, Jafry berkata, Sekolah Menengah (SM) Holy Trinity, Tawau, menerima Anugerah Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) 2025/2026 peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah menengah pada majlis di Melaka, 21 September lalu.
Beberapa sekolah lain di Sabah yang menyertai program berkenaan turut menerima pengiktirafan pada sambutan peringkat negeri.
Beliau berkata, program SLAAS yang diperkenalkan pada 2005 bertujuan memupuk amalan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi lima komponen iaitu pengurusan, kokurikulum, penghijauan, kurikulum dan elemen khas.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian cek replika oleh PTT Exploration and Production Public Company Limited (PTTEP) bagi pelaksanaan Program Rakan Alam Sekitar Sekolah (SERASI) sesi 2026/2027.
Jafry berkata, SERASI yang diperkenalkan pada 2003 merupakan program pendidikan alam sekitar utama Sabah yang dianjurkan bersama JPAS dan JAS.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PTTEP atas sokongan diberikan sejak 2023 dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi membantu lebih banyak sekolah melaksanakan aktiviti pendidikan alam sekitar.

LANCARKAN …. Jafry melancarkan Laporan Petunjuk Alam Sekitar Sabah 2025.







