Warga PDRM Sabah diingatkan jaga nama baik polis

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengingatkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar sentiasa menjaga imej dan maruah polis.
Beliau yang bakal bersara wajib berkata, setiap warga PDRM akan dihormati dan disegani kerana integriti, profesionalisme dan keperibadian yang ditunjukkan.
Katanya, setiap anggota perlu sentiasa mengenali diri, memahami tanggungjawab dan tidak melupakan asal usul sebagai asas membentuk kecemerlangan sepanjang perkhidmatan.
“Apabila kita mengenali diri, asal usul dan memahami apa yang menyebabkan kita berada dalam pasukan polis, kita akan lebih menghargai tanggungjawab yang diberikan.
“Kita akan berusaha melakukan yang terbaik dan memberikan sumbangan semampu mungkin kepada organisasi seterusnya kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Dewan Pengaman IPK Sabah, di sini, kelmarin.
Jauteh berkata, setiap anggota perlu menyedari bahawa tanggungjawab sebagai anggota polis bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, malah membawa bersama imej, maruah dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan.
Sehubungan itu, Jauteh berharap seluruh warga PDRM terus memelihara disiplin, integriti serta profesionalisme dalam setiap tindakan supaya pasukan itu sentiasa dihormati dan diyakini masyarakat.
Dalam pada itu, Jauteh yang dijadual bersara wajib pada 11 November ini turut berkongsi mengenai kehidupan selepas persaraan yang disifatkannya sebagai permulaan fasa baharu selepas sekian lama berkhidmat dalam pasukan polis.
Katanya, selepas 32 tahun berbakti sebagai penjawat awam, beliau mahu kembali menjalani kehidupan sebagai orang awam dan hanya akan memikirkan perancangan seterusnya selepas menamatkan perkhidmatan.

Jauteh menyampaikan sijil penghargaan kepada warga PDRM Sabah.