Pekerja Syarikat Penghantaran Barang Maut Tersepit Lif.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Kota Kinabalu: Seorang pekerja syarikat penghantaran maut selepas tersepit pada lif ketika memunggah barang di stor sebuah pasar raya di Kingfisher, Likas, di sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Joyden Joharis, 19, disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Kota Kinabalu, jam 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa adalah pekerja sebuah syarikat penghantaran barang bagi syarikat pembekalan barangan di daerah ini.

“Ketika memunggah barang, mangsa naik ke tingkat tiga di pasar raya berkenaan dan tidak lama selepas itu salah seorang pekerja di pasar raya terdengar jeritan mangsa kesakitan.

“Rakan mangsa kemudiannya naik ke tingkat tiga menggunakan tangga sebelum bertindak memecahkan pintu stor pekerja dan mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di bahagian leher,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pekerja pasaraya itu kemudian menghubungi ambulans dan bomba untuk bantuan.

“Anggota bomba dan ambulans yang tiba di lokasi kejadian segera memberi bantuan pernafasan.

“Namun mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Habibi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,”katanya.

tamat