
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) daerah ini mengiringi 86 rakyat Malaysia dan 22 warga Indonesia yang terkandas di Nunukan, Indonesia bagi memasuki Malaysia melalui perairan Tawau, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten V. Siva Kumar berkata, operasi khas ini membabitkan sebuah aset bot ronda Maritim Malaysia serta bot ronda dari Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau bagi mengiringi kepulangan semua Individu terbabit.
Katanya, semua individu berkenaan menaiki sebuah feri khas atas kebenaran oleh Kerajaan Negeri Sabah dari Pulau Nunukan, Indonesia masuk ke Malaysia melalui perairan Tawau, Sabah.
“Feri berkenaan selamat tiba di terminal feri kira-kira jam 11.00 pagi selepas diiringi hampir satu jam dari sempadan Malaysia-Indonesia.
“Setibanya di terminal ini, semua penumpang telah diambil alih oleh petugas-petugas barisan hadapan yang terbabit dalam menguruskan operasi ini akan sentiasa mematuhi prosedur standard operasi COVID-19,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Siva Kumar berkata, prosedur itu dijalankan bagi memastikan arahan PKP dipatuhi sepenuhnya oleh keseluruhan 108 individu terbabit bagi menjalani proses saringan dan sanitasi COVID-19.
Katanya, semua individu itu akan dikuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari tertakluk kepada pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Sementara itu, Siva Kumar menyeru kepada komuniti maritim di Tawau supaya bersama-sama berganding bahu membantu pasukan barisan hadapan secara langsung atau tidak langsung dalam mematuhi PKP yang diarahkan bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan sekaligus mengekang penularan wabak COVID-19 ini.
Katanya lagi, Maritim Malaysia akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di sempadan negara terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Tawau ini bagi mengelakkan sebarang ancaman dari luar negara terutamanya berkaitan wabak COVID-19.
“Sebarang maklumat jenayah, aduan serta bantuan kecemasan di laut boleh disalurkan di talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau, di talian 089-752115 atau MERS 999,”katanya.
TAMAT





