Penduduk Di Tiga Kampung Terima Bantuan.


Fardy Bungga
asiatimes@hotmail.com

Kota Kinabalu: Penduduk di tiga kampung di sini iaitu Kampung Pinahawon, Kampung Tiku dan Kampung Ruminding, Telipok, menerima bantuan bekalan makanan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, hari ini.

Bantuan itu diberikan kepada penduduk yang terjejas pendapatan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Coronavirus (COVID-19).

Sumbangan yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, YB Kenny Chua itu disampaikan oleh wakilnya, Kapitam Cina Inanam Leslie Chin.

Leslie ketika ditemui berkata, bantuan ini akan diteruskan ke kawasan penduduk yang masih memerlukan di kawasan DUN Inanam.

Katanya, bantuan berkenaan akan disampaikan secara berperingkat-peringkat yang mensasarkan seramai 100 keluarga setiap sehari.

“Bekalan makanan ini akan dihantar secara terus dari rumah ke rumah bagi mengurangkan pergerakan rakyat khususnya di sekitar DUN Inanam.

“Sejak dimulakan beberapa minggu lalu, pengagihan ini dilakukan secara berperingkat namun diharap sasaran akan berjaya dicapai dalam tempoh terdekat,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya terus berada di rumah dan mematuhi larangan pergerakan dan peraturan-peraturan yang telah di tetapkan oleh kerajaan.

Katanya, anggota kerja DUN Inanam akan cuba membantu seramai yang mungkin namun keutamaan akan diberikan kepada golongan sasar.

“Ini termasuk orang-orang tua, orang kurang upaya, mereka yang menderita sakit, ibu tunggal dan juga mereka yang benar-benar terputus pendapatan disebabkan oleh PKP,”katanya.

Tamat.