Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
PUTRAJAYA: Negara mengalami kerugian mencecah RM2.4 bilion sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, negara mencatatkan jumlah keseluruhan kerugian sehingga kini direkodkan sebanyak RM63 bilion.
Katanya, ini berikutan banyak aktiviti ekonomi yang terhenti dan ia sekaligus merencatkan sumber pendapatan negara secara keseluruhannya.
“Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.
“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion iaitu hampir RM100 bilion,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau sudah berbincang mengenai perkara ini dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, sidang Majlis Keselamatan Negara dan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mengimbangi keperluan memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID 19.
“Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat.
“Bermula 4 Mei 2020, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” tegasnya.
tamat




