asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan itu bagi meneruskan usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Katanya, ia juga bagi memastikan rakyat tidak mudah terdedah kepada jangkitan virus Covid-19.
“Susulan keputusan itu, Sabah mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap empat yang akan berakhir pada 12 Mei.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Jumaat lalu, Muhyiddin dalam perutusan sempena Hari Pekerja itu mengumumkan perlaksanaan PKPB dengan membuka sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial bermula esok.
Muhyiddin berkata, langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal Covid-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.
Bagaimanapun, difahamkan beberapa lagi kerajaan negeri turut tidak mengikut langkah kerajaan persekutuan itu termasuk Sarawak dan Kedah manakala Selangor akan melaksanakannya secara berperingkat.
Tamat







