Tiga Ditahan Curi Kabel

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Tidak pernah serik. Seorang lelaki bukan saja memiliki lapan rekod lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan tipu, kali ini dia sekali lagi ditahan atas kesalahan mencuri kabel milik Telekom Malaysia.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan bersama dua rakan sejenayah yang berusia 27 dan 31 tahun di tiga lokasi berasingan sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis yang dibuat kakitangan TM selepas kabel di Jalan Bunga Raya, Kepayan, disyaki dicuri, 30 April lalu.

Katanya, hasil siasatan dan maklumat, pasukan polis berjaya menahan suspek pertama kira-kira jam 5.30 petang di Jalan Jaguh, Kampung Bunga Raya, di sini.

“Hasil soal siasat yang dijalankan membawa kepada penahanan dua lagi lelaki rakan jenayahnya.

“Siasatan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit dalam kes curi kabel berkenaan di kawasan Tanjung Aru, pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Habibi berkata, hasil tangkapan ketiga-tiga suspek, polis berjaya merampas plastik mengandungi tembaga hampir tujuh kilogram dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel.

“Siasatan mendapati, suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan narkotik, pecah rumah dan tipu.

“Polis juga sedang giat mengesan dua lagi lelaki disyaki terbabit melakukan curi kabel bersama tiga suspek terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431(a) Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dengan memotong kabel.

tamat