Penduduk Di Empat Kampung Terima Bantuan.

Fardy Bungga

asiatimes@hotmail.com

Kota Kinabalu: Penduduk di empat kampung di sini, iaitu Kampung Kiansom Kecil, Kampung Kiang Lama, Kampung Babagon Toki dan Kampung Kolosunan, di sini, menerima bantuan bekalan makanan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, hari ini.

Bantuan itu diberikan kepada penduduk yang terjejas pendapatan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Coronavirus (COVID-19).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, YB Kenny Chua berkata, bantuan ini akan diteruskan ke kawasan penduduk yang masih  memerlukan di kawasan DUN Inanam selaras dengan pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan Kerajaan Negeri.

Katanya, bantuan berkenaan disampaikan secara berperingkat-peringkat kawasan Inanam, Manggatal, Kolombong dan Telipok.

“Kita akan lakukan yang terbaik untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan Pandemil Covid-19 ini.

“Selain itu, barisan tenaga kerja DUN Inanam juga akan memantau situasi Covid -19 dari semasa ke semasa untuk memastikan semua kawasan bebas dari penyakit ini,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kenny berkata, dalam usaha, pihaknya juga sentiasa bekerjasama rapat dengan semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Sukarelawan Negara (RELA).

Sementara itu, Ketua Pegawai Pejabat Pusat Khidmat ADUN N13 Inanam, Judd Ignatius berkata, semua sumbangan itu diserahkan kepada Pengerusi dan Biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap kampung untuk mempercepatkan proses agihan.

Katanya, anggota kerja DUN Inanam akan cuba membantu seramai yang mungkin namun keutamaan akan diberikan kepada golongan sasar.

Tamat